11 June 2011

...sesuatu bermuLa denGan niat...


niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah...insyaAllah :)

ayuh kita ambil pengajaran dari kisah Qabil dan Habil...
----------------------------------------------------------------------------------

Menurut sesetengah ulama, Nabi Adam dan isterinya Hawa dikurniakan Allah dengan anak ramai. Dikatakan mereka mempunyai 120 orang putera puteri. Setiap kali Siti Hawa melahirkan anak pasti akan dikurniakan anak kembar iaitu seorang lelaki dan seorang perempuan. 

Menurut peraturan dan syariat Nabi Adam seperti yang dikehendaki Allah, putera puterinya akan dijodohkan  antara satu sama lain.

Kembar pertama yang dilahirkan oleh Siti Hawa ialah Qabil dan Iklima. Kembar keduanya ialah Habil dan Labuda.

 Adik Qabil iaitu Iklima mempunyai rupa paras yang cantik jelita. Namun, Labuda tidak mempunyai rupa paras yang cantik seperti kakaknya.

Setelah putera puteri baginda meningkat dewasa, Nabi Adam mendapat satu wahyu yang sangat penting dari Allah. Menurut wahyu tersebut Allah memerintahkan Nabi Adam menjodohkan putera puterinya secara berselang-seli. Ini bermakna Qabil mestilah berkahwin dengan Labuda dan Habil pula berkahwin dengan Iklima. 

Setelah menerima wahyu itu Nabi Adam segera memberitahu putera puterinya. Namun puteranya Qabil tidak bersetuju dan terus membantah seraya berkata: 
Ayah! Aku tidak bersetuju dengan keputusan ayah. Akulah yang berhak berkahwin dengan Iklima kerana dia lahir bersama-sama denganku.”

Qabil membantah kerana cemburu terhadap adiknya, Habil. Setelah abangnya diam, Habil pula berkata:
“Ayah, aku serahkan perkara ini kepada Allah jika demikian perintah Allah.” 

Kata-kata Habil ini membuatkan abangnya itu bertambah marah.

Nabi Adam diam mendengarkan kata anaknya itu. Tapi Qabil terus membantah sambil berkata:
Tidak ayah..Aku tetap tidak bersetuju…Kalau ayah meneruskan juga bererti ayah mengasihi Habil dan membenciku.”

Nabi Adam merasa serba salah dalam menghadapi masalah menjodohkan anaknya. 

Setelah berfikir panjang, Nabi Adam pun memberi cadangan:
“Wahai putera-puteraku..Kamu berdualah pergi minta keputusan dari Allah dengan membawa korbanmu masing-masing. Barangsiapa korbannya diterima Allah, maka dialah yang benar.”

Pada keesokan harinya kedua-dua putera Nabi Adam itu segera pergi ke tempat yang Nabi Adam sering sujud kepada Allah. Qabil membawa  sehidang buah-buahan dan tanam-tanamannya yang rosak dan busuk sesuai pekerjaannya sebagai seorang petani. Maka Habil pula membawa seekor kambing yang paling disayanginya sesuai pekerjaannya sebagai pengembala. Kedua-duanya meletakkan korban masing-masing di tempat yang disediakan.

Tidak lama kemudian, turunlah api tanpa asap menyambar korban yang dipersembahkan oleh Habil. Korban Qabil langsung tidak terusik dan berada di tempatnya. Ini bererti korban Habil diterima dan Habillah yang benar dan dialah yang patut  berkahwin dengan Iklima.

Keputusan dari Allah ini tidak juga membuat Qabil berasa puas malah dia semakin geram dan dendam terhadap adiknya.

Di saat inilah Iblis mula menusukkan jarumnya. Iblis mula menghasut Qabil agar membunuh Habil dan menghapuskannya terus dari muka bumi ini.

Dengan  keputusan dari langit yang menerima korban Habil dan menolak korban Qabil maka pudarlah harapan Qabil untuk mempersandingkan Iqlima tidak puas dengan keputusan itu namun tidak ada jalan untuk menyoalkan. Ia menyerah dan memerainya dengan rasa kesal dan marah sambil menaruh dendam terhadap Habil yang akan dibunuh di kala ketiadaan ayahnya.

Ketika Adam hendak berpergian dan meninggalkan rumah beliau mengamanahkan rumahtangga dan keluarga kepada Qabil. Ia berpesan kepadanya agar menjaga baik-baik ibu dan saudara-saudaranya selama ketiadaannya. Ia berpesan pula agar kerukunan keluarga dan ketenangan rumahtangga terpelihara baik-baik jangan sampai terjadi hal-hal yang mengeruhkan suasana atau merosakkan hubungan kekeluargaan yang sudah akrab dan intim.

Qabil menerima pesanan dan amanat ayahnya dengan kesanggupan akan berusaha sekuat tenaga menyelenggarakan amanat ayahnya dengan sebaik-baiknya dan sempurna berpergiannya akan mendapat segala sesuatu dalam keadaan baik dan menyenangkan.

Demikianlah kata-kata dan janji yang keluar dari mulut Qabil namun dalam hatinya ia berkata bahawa ia telah diberi kesempatan yang baik untuk melaksanakan niat jahatnya dan melepaskan rasa dendamnya dan dengkinya terhadap Habil saudaranya.

Tidak lama setelah Adam meninggalkan keluarganya datanglah Qabil menemui Habil di tempat penternakannya. 

Surah Al-Maidah: Ayat 27-29
"Ceriterakanlah kepada mereka kisah kedua putera Adam (Habil dan Qabil) menurut yang sebenarnya, ketika keduanya mempersembahkan korban, maka diterima dari salah seorang dari mereka berdua (Habil) dan tidak diterima dari yang lain (Qabil). Ia berkata (Qabil):"Aku pasti membunuhmu!" Berkata Habil: "Sesungguhnya Allah hanya menerima korban dari orang-orang yang bertakwa."


"Sungguh kalau kamu menggerakkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku sekali-kali tidak akan menggerakkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan seru sekalian alam."


"Sesungguhnya aku ingin agar kamu kembali dengan membawa dosa membunuhku dan dosamu sendiri, maka kamu akan menjadi penghuni neraka, dan yang demikian itulah pembalasan bagi orang-orang yang zalim.""

Nasihat dan kata-kata mutiara Habil itu didengar oleh Qabil namun masuk telinga kanan keluar telinga kiri dan sekali-kali tidak sampai menyentuh lubuk hatinya yang penuh rasa dengki, dendam dan iri hati sehingga tidak ada tempat lagi bagi rasa damai, cinta dan kasih sayang kepada saudara sekandungnya. 

Qabil yang dikendalikan oleh Iblis tidak diberinya kesempatan untuk menoleh ke belakang mempertimbangkan kembali tindakan jahat yang dirancangkan terhadap saudaranya, bahkan bila api dendam dan dengki di dalam dadanya mulai akan padam dikipasinya kembali oleh Iblis agar tetap menyala-yala dan ketika Qabil bingung tidak tahu bagaimana ia harus membunuh Habil saudaranya, menjelmalah Iblis dengan seekor burung yang dipukul kepalanya dengan batu sampai mati. Contoh yang diberikan oleh Iblis itu diterapkannya atas diri Habil di kala ia tidur dengan nyenyaknya dan jatuhlah Habil sebagai korban keganasan saudara kandungnya sendiri dan sebagai korban pembunuhan pertama dalam sejarah manusia.

Surah Al-Maidah: Ayat 30
"Maka hawa nafsu Qabil menjadikannya menganggap mudah membunuh saudaranya, sebab itu dibunuhnyalah, maka jadilah ia seorang di antara orang-orang yang merugi."

Qabil merasa gelisah dan bingung menghadapi mayat saudaranya. Dia tidak tahu apa yang harus diperbuat dengan tubuh saudaranya yang semakin lama semakin busuk itu. Diletakkannyalah tubuh itu di sebuah peti yang dipikulnya seraya mundar-mundir oleh Qabil dalam keadaan sedih melihat burung-burung sedang berterbangan hendak menyerbu tubuh jenazah Habil yang sudah busuk itu.

Kebingungan dan kesedihan Qabil tidak berlangsung lama kerana ditolong oleh suatu contoh yang diberikan oleh Tuhan kepadanya sebagaimana ia harus menguburkan jenazah saudaranya itu. Allah s.w.t. Yang Maha Pengasih lagi Maha Bijaksana, tidak rela melihat mayat hamba-Nya yang soleh dan tidak berdosa itu tersia-sia demikian rupa, maka dipertunjukkanlah kepada Qabil, bagaimana seekor burung gagak menggali tanah dengan kaki dan paruhnya, lalu menyodokkan gagak lain yang sudah mati dalam pertarungan, ke dalam lubang yang telah digalinya, dan menutupi kembali dengan tanah. 

Surah Al-Maidah: Ayat 31
"Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali-gali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana dia seharusnya menguburkan mayat saudaranya. Berkata Qabil: "Aduhai celaka aku, mengapa aku tidak mampu berbuat seperti burung gagak ini, lalu aku dapat menguburkan mayat saudaraku ini?" Kerana itu jadilah dia seorang di antara orang-orang yang menyesal."

Kemudian kembalilah Adam dari perjalanan jauhnya. Ia tidak melihat Habil di antara putera-puterinya yang sedang berkumpul. Bertanyalah ia kepada Qabil: 
"Di manakah Habil berada?Aku tidak melihatnya sejak aku pulang."

Qabil menjawab:
"Entah, aku tidak tahu dia ke mana! Aku bukan hamba Habil yang harus mengikutinya ke mana saja ia pergi."

Melihat sikap yang angkuh dan jawapan yang kasar dari Qabil, Adam dapat meneka bahawa telah terjadi sesuatu ke atas diri Habil, puteranya yang soleh, bertakwa dan berbakti terhadap kedua orang tuanya itu.

Pada akhirnya terbukti bahawa Habil telah mati dibunuh oleh Qabil sewaktu peninggalannya. Ia sangat sesal di atas perbuatan Qabil yang kejam dan ganas itu di mana rasa persaudaraan, ikatan darah dan hubungan keluarga diketepikan sekadar untuk memenuhi hawa nafsu dan bisikan yang menyesatkan.

Menghadapi musibah itu, Nabi Adam hanya berpasrah kepada Allah menerimanya sebagai takdir dan kehendak-Nya seraya mohon dikurniai kesabaran dan keteguhan iman baginya dan kesedaran bertaubat dan beristighfar bagi puteranya Qabil.

1 comment:

  1. a very good article...
    cik liza karang sendiri ke...

    " sharing is caring.. " =)

    ReplyDelete