27 December 2010

...sejarah ringkas Nabi Muhammad s.a.w.(bahagian 3)...

-Tugas Nabi Muhammad s.a.w.-

Selama hampir 2 1/2 tahun setelah penurunan wahyu pertama, barulah Nabi Muhammad menerima wahyuNya yang kedua.

Sementara menunggu wahyu kedua tadi, acapkali Nabi Muhammad s.a.w. berasa cemas dan khuatir akan putusnya kelangsungan wahyu tersebut. Namun, baginda tidak pernah berputus asa. Baginda terus bertahannuts dan menetapkan hati. Dalam pada itu, baginda turut memikirkan perihal ketamadunan sistem pemerintahan yang telah sedia ada di Kota Mekah.

Sehinggalah pada suatu hari, baginda nampak akan Malaikat Jibril a.s.. Ini menyebabkan badannya seram sejuk menggigil. Pulanglah Rasulullah s.a.w. untuk berselimut sementelah menerima wahyu kedua.

"Nun. Demi pena (kalam Allah) dan apa yang mereka tulis,

Engkau (wahai Muhammad) dengan berkat nikmat pemberian Tuhanmu bukanlah seorang gila (sebagaiman yang dituduh oleh kaum musyrik).

Sesungguhnya engkau pasti beroleh pahala yang amat besar yang tidak putus-putus.

Dan sesungguhnya engkau benar-benar mempunyai akhlak yang amat mulia.

Maka (tidak lama lagi) engkau akan melihat dan mereka juga akan melihat,

Siapakah sebenarnya yang gila antara kamu semua?

Sesungguhnya Tuhanmu, Dialah jua paling mengetahui akan siapa yang sesat daripada jalanNya, dan Dialah jua paling mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk."
[Surah Al-Qalam: Ayat 1-7]

Wahyu kedua ini  telah menaikkan semangat Nabi Muhammad s.a.w. untuk memulakan sesi menyiarkan agama Islam secara sembunyi-sembunyi. Maka, wujudlah golongan-golongan yang awal beriman - Siti Khadijah binti Khuwailid (isteri baginda), Ali bin Abi Thalib (sepupu baginda), Zaid bin Haritsah (seorang budak (hamba yang dibebaskan) yang akhirnya menjadi anak angkat baginda) serta Abu Bakar As-Siddiq (kawan karib baginda).

Melalui perantaraan Abu Bakar, adapun berimanlah - Uthman bin Affan, Zubair bin Awwam, Sa'ad bin Abi Waqqash, Abdurahman bin 'Auf, Thalhah bin 'Ubaidillah, Abu 'Ubaidillah bin Jarrah, Arqam bin Abil Arqam, Fatimah binti Khattab (adik Umar Al-Khattab) serta suami Fatimah, Said bin Zaid Al-'Adawi.

Mereka ini digelar: 'As-Saabiquunal awwaluun' - orang terdahulu yang pertama-tama mengenal Islam. Mereka beroleh pelajaran Islam secara langsung daripada Nabi Muhammad s.a.w. di rumah Arqam bin Abil Arqam.

entri ini terhenti di sini sekejap... insyaAllah, masih banyak lagi perkongsian termasuklah pemahaman tentang kronologi penurunan wahyu...liza akan kongsikan perlahan-lahan...liza pulang ke kampung hari ini untuk meraikan sepupu yang bakal berkahwin...sampai jumpa lagi...jihad fi sabilillah...

26 December 2010

...sejarah ringkas Nabi Muhammad s.a.w.(bahagian 2)...

-Akhlak Nabi Muhammad s.a.w. dari zaman kanak-kanak sehingga dewasa-

Nabi Muhammad s.a.w. telah diberi gelaran 'Al-Amin': orang yang dapat dipercayai.

Baginda tidak pernah menyembah berhala semenjak kecil dan tidak pernah makan daging yang disembelih sebagai korban berhala. Baginda mengelak sebarang bentuk keramaian dan upacara pemujaan.

Baginda berusaha sendiri mencari nafkah, kerana orang tuanya tidak meninggalkan harta warisan yang cukup.

Ketika berusia 37 tahun, baginda mula  bertahannuts (tafakur) dalam mencari erti hidup dengan mendapatkan pemusatan jiwa di dalam sebuah gua kecil (Gua Hira') bertempat di Bukit Cahaya (Jabal Nur).

"Dan Dia mendapati engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayah (dengan wahyu - Al-Quran;" [Surah Ad-Dhuha: Ayat 7]

-Nabi Muhammad s.a.w. menjadi Rasul Allah-

Ketika menghampiri umur 40 tahun, Nabi Muhammad s.a.w. lebih kerap bertahannuts. Kadangkala, baginda bermimpi  - mimpi yang benar (Arru'yaa ashshaadiqah).

"Demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran sebagai wahyu (roh yang menghidupkan hati) daripada perintah Kami. Engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu. Tetapi Kami jadikan Al-Quran sebagai cahaya yang menerangi, yang Kami beri petunjuk dengannya kepada sesiapa yang Kami kehendaki di kalangan hamba-hamba Kami. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar memberi petunjuk (dengan Al-Quran itu) ke jalan yang lurus," [Surah As-Syuura: Ayat 52]

Pada 17 Ramadhan bersamaan dengan 6 Ogos 610 Masihi, turunlah Malaikat Jibril a.s. membawakan wahyu Allah s.w.t. yang pertama -

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan (sekalian makhluk).


Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah.


Bacalah. Tuhanmu Yang Maha Pemurah.


Yang mengajar manusia melalui perantaraan kalam (pena dan tulisan).


Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
[Surah Al-'Alaq: Ayat 1-5]

Menurut riwayat, Rasulullah s.a.w. telah disentap oleh Malaikat Jibril a.s. sebanyak tiga kali sehingga keluar keringat dan menggigil. Setelah menerima wahyu yang pertama ini, baginda bergegas pulang ke rumah dan minta diselimuti oleh isterinya, Siti Khadijah.

Isterinya yang bijaksana langsung tidak berasa khuatir, terus menenteramkan Nabi Muhammad s.a.w..Oleh kerana terlampau lelah, baginda tertidur.

Siti Khadijah kemudian bergegas menemui bapa saudaranya yang bernama Waraqah bin Naufal. Waraqah adalah seorang buta yang telah lanjut usianya. Dia tidak pernah menyembah berhala dan beragama Nasrani. Dia seorang yang berpendidikan, memahami tulisan Ibrany, telah belajar dan menyalinkan Kitab Taurat serta Injil ke dalam Bahasa Arab.

Sesudah selesai mendengarkan cerita daripada Siti Khadijah, Waraqah telah menyatakan kepastiannya bahawa memang Muhammad merupakan Rasul Allah sebab telah menerima 'namus akbar' (petunjuk Yang Maha Besar) sebagaimana yang pernah diterima oleh Nabi Musa a.s..

Setelah Nabi Muhammad s.a.w. kembali tenang, sekali lagi Siti Khadijah pergi menemui Waraqah. Kali ini, dibawanya sekali Nabi Muhammad s.a.w..Waraqah telah memberitahu kepada Nabi Muhammad s.a.w. bahawasanya akan ada suatu ketika di mana baginda bakal diusir kaumnya dalam perjuangan nanti. Lantas, Waraqah berjanji kepada Nabi Muhammad s.a.w. akan menolong sedaya upayanya sekiranya diberi kesempatan untuknya berada bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w. ketika itu nanti.

-Peranan Siti Khadijah di saat Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu-

Sebelum berkahwin dengan baginda Rasulullah s.a.w., Siti Khadijah binti Khuwailid telah menjanda sebanyak dua kali.

Suami pertama Siti Khadijah - 'Atieq bin 'Aabld al-Makhzumy. Suami pertamanya meninggal dunia dan mereka mempunyai seorang puteri bernama Hindun.

Suami kedua Siti Khadijah - Nabbasy bin Zurarah Attaimy. Suami keduanya turut meninggal dunia. Mereka mempunyai seorang puteri, yang juga bernama Hindun dan seorang putera bernama Halal.

Siti Khadijah sangat dihormati kerana dia sangat memelihara kesucian dan martabatnya sehingga digelar sebagai 'At-Thahirah'. Dia merupakan seorang janda yang kaya-raya serta dermawan.

Siti Khadijah sungguh-sungguh mengenali jiwa, peribadi serta akhlak Nabi Muhammad s.a.w..Dia memberikan kesempatan dan keleluasaan kehidupan berfikir yang tidak terbatas buat Nabi Muhammad s.a.w. di alam nafsani untuk mencari hakikat yang benar dan mutlak. Siti Khadijah sangat-sangat menyokong dan sentiasa mendorong semangat setiapkali Nabi Muhammad s.a.w. ragu akan kejadian mimpi yang menimpa beliau.

Apabila Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu yang pertama, Siti Khadijah menghibur dan meyakinkan hati. Dan ketika menerima wahyu kedua yakni, perintah untuk mulai bekerja dan memperjuangkan syiar agama Allah - Siti Khadijahlah wanita Islam pertama yang memeluk Islam tanpa ragu-ragu.Alhamdulillah...

...sejarah ringkas Nabi Muhammad s.a.w.(bahagian 1)...

-Sejarah Kota Mekah-

Kota Mekah merupakan garis lalu lintas perdagangan antara negeri Yaman (Arab Selatan) dan negeri Syam (Lautan Tengah). Di dalam Kota Mekah, terdapat rumah suci yang disebut 'Baitullah' atau Kaabah. Kaabah ini telah dibangunkan oleh Nabi Ibrahim a.s. bersama-sama puteranya Nabi Ismail a.s.

Nabi Ismail a.s. telah berkahwin dengan seorang wanita daripada suku Jurhum (Yaman). Lantas, mereka menetap secara turun-temurun di Kota Mekah lalu dikenali sebagai keturunan Adnaniyyun (Bani Ismail).

Pada suatu hari, empangan di Ma'rib telah pecah. Peristiwa ini menyebabkan kabilah-kabilah dari Arab Selatan berpindah ke Utara menuju Kota Mekah.

Antaranya termasuklah sebuah rombongan pimpinan Harits bin 'Amir (Bani Khuza'ah). Bani Khuza'ah ini telah mengalahkan Bani Ismail, seterusnya menjadi penguasa Kota Mekah.

Sewaktu dalam pemerintahan Bani Khuza'ah, Bani Ismail mula berkembang biak dan merantau ke negeri-negeri yang lain. Hanya suku Quraisy (daripada Bani Ismail) yang tetap tinggal di Kota Mekah.

Sehinggalah abad ke-5 Masihi, akhirnya seorang pemimpin suku Quraisy yang bernama Qushai berjaya merebut kuasa ke atas Kota Mekah. Qushai mengamalkan pemerintahan secara demokrasi dan membahagi-bahagikan kekuasaan kepada pemimpin-pemimpin Quraisy. Tempat bermusyawarah diwujudkan dan diberi nama 'Daarunnadwah'. Suku Quraisy turut diberi tugasan sebagai penjaga Kaabah.

-Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.-

Bayi itu dilahirkan seorang yatim, bapanya Abdullah meninggal 7 bulan sebelum kelahirannya. Kelahirannya telah disambut oleh datuknya, Abdul Muthalib yang segera membawanya ke kaki Kaabah lalu diberikan nama Muhammad (nama yang belum pernah ada).

Nabi Muhammad s.a.w. telah lahir ke dunia pada tanggal 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan dengan 20 April 571 Masihi. Tahun kelahirannya dikenali sebagai Tahun Gajah kerana pada tahun tersebut Kota Mekah telah diserang oleh tentera bergajah Nasrani di bawah pimpinan Abrahah. Allah telah menghancurkan bala tentera itu dengan kehadiran burung Ababil.

Ayah Nabi Muhammad s.a.w. - Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdumanaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah

Ibu Nabi Muhammad s.a.w. - Aminah binti Wahab bin Abdumanaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah

Adalah menjadi kelaziman golongan bangsawan di Kota Mekah untuk menghantar bayi-bayi mereka kepada wanita-wanita badiyah (dusun di padang pasir) yang bertugas sebagai ibu susuan agar:

  • bayi-bayi dapat menghirup hawa yang bersih
  • bayi-bayi terhindar daripada penyakit-penyakit kota
  • bayi-bayi berbicara bahasa yang murni dan fasih
Maka, Aminah menyerahkan Nabi Muhammad s.a.w. kepada seorang wanita dari Bani Sa'ad (suku Hawa'in) yang bernama Halimatus Saadiah untuk disusukan. Nabi Muhammad s.a.w. diasuh olehnya sehinggalah berusia 5 tahun.

-Kematian ibu dan datuk Nabi Muhammad s.a.w.-

Ketika berusia 6 tahun, Nabi Muhammad s.a.w. telah dibawa oleh ibunya ke Yathrib. Mereka ditemani Ummu Aiman yang merupakan hamba peninggalan ayah Nabi Muhammad s.a.w.

Tujuan mereka ke Yathrib adalah untuk memperkenalkan Nabi Muhammad s.a.w. kepada keluarga nenek baginda yang berketurunan Bani Najjar serta menziarahi makam ayah Nabi Muahmmad s.a.w.. Aminah telah menunjukkan tempat ayah baginda dirawat ketika sakit serta pusaranya. Mereka tinggal selama sebulan di Yathrib sebelum memutuskan untuk kembali ke Kota Mekah.

Di dalam perjalanan pulang, bertempat di Abwa', ibu Nabi Muhammad s.a.w. telah jatuh sakit sehingga meninggal dunia. Nabi Muhammad s.a.w. menjadi seorang yatim piatu.

Sekembalinya ke Kota Mekah, Nabi Muhammad s.a.w. telah dijaga oleh datuknya, Abdul Muthalib. Tidak berapa lama, ketika usia Nabi Muhammad s.a.w. menginjak 8 tahun, datuknya pula telah meninggal dunia.

Abdul Muthalib telah mewasiatkan agar Nabi Muhammad s.a.w. diasuh oleh bapa saudaranya, Abu Thalib.

-Pengalaman-pengalaman penting Nabi Muhammad s.a.w.-

Nabi Muhammad s.a.w. di zaman kanak-kanaknya mengambil upah menggembala kambing. Ini mengajarkan baginda erti kesabaran serta bertenang dalam membuat keputusan.

Sewaktu berusia 12 tahun, Nabi Muhammad s.a.w. telah mengikuti bapa saudaranya untuk membawa barang dagangan ke negeri Syam. Ketika di dalam perjalanan bertempat di Bushra, kafilah mereka telah bertemu dengan seorang pendeta Nasrani bernama Buhaira. Buhaira telah nampak tanda kenabian pada Nabi Muhammad s.a.w. lalu disampaikan kepada Abu Thalib. Buhaira kemudian menyuruh Abu Thalib segera berpatah balik ke Mekah kerana khuatir kaum Yahudi akan mengapa-apakan Nabi Muhammad s.a.w.

Menginjak ke usia 15 tahun, telah berlaku satu peperangan di antara satu pihak (suku Quraisy dan Kinanah) melawan satu pihak lagi (suku Qais 'Ailan). Perang ini berlaku pada bulan Zulqaedah dan digelar 'Harbul Fijar' : perang yang memecahkan kesucian. Pada waktu itu, Nabi Muhammad s.a.w. bertugas membantu menyediakan keperluan perang.

Jenayah yang makin berleluasa telah menimbulkan keinsafan. Ketika Nabi Muhammad s.a.w. berusia 17 tahun, berkumpullah pemimpin-pemimpin suku Quraisy daripada Bani Hasyim, Bani Muthalib, Bani Asad bin 'Uzza, Bani Zuhrah bin Kilab serta Bani Tamim bin Murrah. Mereka telah mengangkat sumpah agar tidak boleh ada orang teraniaya di Kota Mekah. Sekiranya ada, haruslah dibela bersama-sama. Sumpah ini dinamakan 'Haifulfudhul' dan berlaku di rumah Abdullah bin Juda'an.

Setelah meningkat dewasa (awal 20-an), Nabi Muhammad s.a.w. terkenal seorang yang jujur, telah diambil bekerja untuk membawa barang dagangan seorang janda kaya (Siti Khadijah) ke negeri Syam. Baginda ditemani seorang pembantu bernama Maisarah.

Sekembali daripada Syam setelah beroleh keuntungan yang besar memperdagangkan 1000 kafilah, Nabi Muhammad s.a.w. telah mendapat lamaran. Maka, berkahwinlah beliau yang ketika itu berusia 25 tahun dengan Siti Khadijah yang berusia 40 tahun.

Nabi Muhammad s.a.w. bertambah terkenal apabila berjaya mendamaikan perselisihan di antara pemimpin-peminpin Quraisy dalam hal peletakan 'Hajarul Aswad' ke tempat asalnya. Baginda digelar 'Al-Amin': orang yang dipercaya dan dipilih menjadi hakim kerana baginda merupakan orang pertama yang datang ke Kaabah ketika peristiwa itu berlangsung. 

Baginda telah menghamparkan sebidang kain, lalu diangkatkannya 'Hajarul Aswad' yang diletakkan di tengah-tengah hamparan tadi. Kemudian, pemimpin-pemimpin Quraisy telah diarahkan untuk memegang penjuru kain, sebelum 'Hajarul Aswad' diangkat bersama-sama ke tempat asalnya. Tiba di lokasi, Nabi Muhammad s.a.w.lah yang menempatkannya.

...bagaimanakah memfungsikan Al-Quran?!!

mari kita ingatkan kembali Rukun-rukun Iman...

Rukun-rukun Iman itu 6 perkara:
  1. Yakin dan percaya kewujudan Allah s.w.t.
  2. Yakin dan percaya kepada para Malaikat
  3. Yakin dan percaya kepada para Rasul dan Nabi
  4. Yakin dan percaya kepada Kitab Allah (Al-Quran)
  5. Yakin dan percaya kepada Hari Kiamat
  6. Yakin dan percaya kepada Qada' dan Qadar Allah s.w.t.
jelas di sini, kesemua rukun-rukun ini ghaib melainkan rukun yang ke-4... Kitab Allah (Al-Quran) adalah mukjizatNya yang dapat didengar, dilihat dan difahami...

dengan memperoleh iman terhadap Kitab Allah (Al-Quran), lantas langsunglah kita dapat beramal dengannya...insyaAllah...

fitrah manusia di muka bumi - wajib berAl-Quran...

"Maka hadapkanlah wajahmu (mengikhlaskan dirimu) ke arah agama Allah - fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada agama Allah itu; itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." [Surah Ar-Rum: Ayat 30]

seperkara mengenai tidak mengetahui, menurut firman Allah s.w.t.,

"Allah mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu apapun, dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (akal fikiran) supaya kamu bersyukur." [Surah An-Nahl: ayat 78]

di sini, Allah menjelaskan ketetapan manusia yang tidak mengetahui...namun begitu, telah dijelaskan juga cara-cara untuk mengetahui melalui kurniaan pancaindera (pendengaran, penglihatan serta hati)...

apakah perkaitannya pancaindera ini dengan Kitab Al-Quran?

"Sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahannam kebanyakannya daripada jin dan manusia, mereka mempunyai hati (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (bukti keesaan Allah) dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai." [Surah Al-A'raf: Ayat 179]

lihatlah tafsiran di atas...ajaran dan nasihat terkandung lengkap dalam Al-Quran - bacalah dan dengarkan...kemudian, lihatlah sekeliling bukti keesaan Allah...dan fahami serta nilailah dengan hati akan kebenaran ayat-ayat Allah (Kitab Al-Quran)...

masih kurang yakin atau kurang jelas?!!

Al-Quran itu petunjuk...menurut firman Allah s.w.t.,

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah." [Surah Al-Baqarah: Ayat 185 - sebahagian]

mengikut ayat ini, kita dapat simpulkan di dalam Al-Quran terdapat petunjuk yang harus dibaca lalu didengar (dengan pendengaran)...ajaran itu tadi, kita cari buktinya dengan melihat kewujudan petunjuk pada persekitaran (dengan penglihatan)...kemudian, kita bezakan pula kebenaran (haq) dan yang salah (batil) menurut penilaian hati - memahami ayat-ayat Allah (kembali kepada Al-Quran)...

"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya tentang apa yang dilakukannya." [Surah Al-Isra': Ayat 36]

berulang-ulang kali Allah tunjukkan kepada kita kepentingan pendengaran, penglihatan serta hati...bersyukurlah dengan menggunakan pancaindera ini untuk mengenal dan berAl-Quran...itulah sebaik-baik cara...subhanallah...

23 December 2010

...dimulakan dengan bismillah...

mari kita selongkar rahsia berbasmalah pulak...

"Bismillahhirrahmannirrahim" [Surah Al-Fatihah: Ayat 1]

Dengan nama Allah- mencakupi pembawaan/perintah Allah...

OK, analogi ringkasnya, pada kepala surat biasanya disertakan nama - itu membawa maksud arahan daripada penama (syarikat,individu dsbnya)...

tidakpun, mengikut sejarah apabila dibacakan perutusan daripada sultan, berkatalah pembawa utusan sambil membuka lembaran skrol,"Adalah dengan ini, menurut perintah Sultan Sekian sekian (ada disertakan nama di sini)...

kita boleh simpulkan bahawa apabila memulakan sesuatu dengan bismillah, kita sedang memegang perintah penama (Allah) - seharusnya takutlah nak buat perkara-perkara yang mencemar namaNya, kan?!!

samalah kalau membawa nama keluarga, mestilah malu nak buat perkara yang boleh mencoreng arang ke muka ibu bapa, betul tak?!!

Dengan nama Allah - besar tu amanahNya...subhanallah...

OK, kita sambung lagi...

Ar-Rahman - nama Allah berupa sifatNya Yang Maha Pemurah...

bagaimana Yang Maha Pemurahnya Allah?

ayuh kita rujuk satu surah - Surah Ar-Rahman...Allah s.w.t. turunkan satu surah untuk menjelaskan betapa Maha Pemurahnya Allah ni kepada hamba-hambaNya...subhanallah...

"Ar-Rahman." [Surah Ar-Rahman: Ayat 1]
Tuhan Yang Maha Pemurah.

"'Allamal Quran." [Surah Ar-Rahman: Ayat 2]
Dialah Yang telah mengajarkan Al-Quran.

"Kholakol insan." [Surah Ar-Rahman: Ayat 3]
Dialah Yang telah menciptakan manusia.

sesungguhnya Maha Pemurahnya - Allah bersifat 'Alim (Maha Mengetahui) dan Khalik (Maha Pencipta)...

mengapa diajarkan Al-Quran, kemudian baru diciptakan manusia?

analogi ringkasnya begini: sebelum tertegaknya KLCC, haruslah ada pelan sebagai rujukan...

samalah juga, Al-Quran ini bakal menjadi petunjuk (manual kehidupan)...

haruslah ada Al-Quran sebelum wujudnya manusia yang wajib berAl-Quran...

ini adalah fitrah (ketetapan) didasarkan kepada firman Allah s.w.t.,

"Maka hadapkanlah wajahmu (mengikhlaskan dirimu) ke arah agama Allah - fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu, tidaklah patut ada sebarang perubahan pada agama Allah itu; itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui." [Surah Ar-Rum: Ayat 30]
--------------------------------------------------------------------------------
mengapa sukar berAl-Quran? 

mudah pula jawapannya - sebab tidak mengetahui...

menurut firman Allah s.w.t.,

" Dan apabila dikatakan kepada mereka,"Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah." Mereka menjawab: " Tidak! Tetapi kami (hanya) menurut apa yang nenek moyang kami melakukannya." Patutkah (mereka melakukannya) sekalipun nenek moyangnya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang urusan agama), dan tidak pula mendapat hidayah (daripada Allah)?" [Surah Al-Baqarah: Ayat 170]

dan membuat persangkaan...

menurut firman Allah s.w.t.,

"Jika engkau menuruti kebanyakan orang yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkan engkau daripada jalan Allah, mereka tidak lain hanyalah menurut sangkaan semata-mata dan mereka tidak lain hanyalah berdusta." [Surah Al-An'am: Ayat 116]

ada penyelesaiannya, menurut firman Allah s.w.t. lagi,

"Ikutilah apa yang telah diwahyukan Tuhanmu kepadamu (Muhammad), tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia, dan berpalinglah daripada orang musyrik." [Surah Al-An'am: Ayat 106]

apa yang diwahyukan itu?!!
rata-rata dapat menjawab - Al-Quran...

ragu-ragu ke?!! takut tak?!!

ikutilah...

wallahu'allam...

...hakikat wajib berAl-Quran...

sekian lama ku terlontar dalam pencarian...

alhamdulillah, berkat rahmat Allah, mungkin inilah nur hidayahNya...

masih banyak persoalan belum terungkai...insyaAllah, Dia bakal menemani sesiapa yang mencari...

aku masih jahil...sekadar mahu berkongsi apa yang sedang menyinari hati di kala ini...

ohh ya, diriku sedang mengikuti pengajian berupa perkongsian ilmu di Gombak...terkesan di hati saya...sahabat yang ingin turut serta, adalah sangat dialu-alukan...sekiranya berkesempatan, hubungilah saya...sama-sama kita mencari keredhaan Allah...baru menjangkau 4 sesi tetapi sungguh mendamaikan...subhanallah...

buat masa ini, sahabat-sahabatku yang dikasihi, bacalah...moga-moga kalian mendapat manfaat...

"Ya Tuhanku, lapangkanlah untukku dadaku dan mudahkanlah bagiku urusanku dan lenyapkanlah kekeluan lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku." [Surah Toha: Ayat 25-28] - Doa Nabi Musa a.s.

dan ingatkan kembali wahyu yang pertama:

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan (sekalian makhluk).

Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. 

Bacalah. Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. 

Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. 
[Surah Al-'Alaq: Ayat 1 - 5]
----------------------------------------------------------------------------
apakah Hadis Wasiat?

Taraktu fikum amraini ma'in tamassaktum bihima lam tadhillu abada, Kitabullahu wa Sunnatan Rasulullah


Maksudnya: Kutinggalkan untukmu 2 pusaka, yang mana kamu tidak akan tersesat selamanya selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya: Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah RasulNya.

Hadis ini jelas sahih kerana telah disabdakan oleh baginda Rasulullah s.a.w. di hadapan anggaran 100,000 umatnya sebaik setelah selesai baginda menunaikan Haji yang terakhir (Hujjatul Wada') bertempat di Bukit Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah 10H bersamaan dengan 7 Mac 632M.

kembali kepada penurunan Hadis Wasiat ini, ayuhlah kita sama-sama meneliti maksudnya...

Kutinggalkan - 'Ku' merujuk kepada baginda Rasulullah s.a.w. dan 'tinggalkan' adalah berupa penyerahan

untukmu - 'untuk' dituju (beri)kan kepada 'mu' yang merupakan umat Muhammad s.a.w.

2 pusaka - 'pusaka' adalah warisan (harta peninggalan)

yang mana kamu tidak akan tersesat selamanya - merupakan kata-kata jaminan Rasulullah s.a.w.

selagi kamu berpegang teguh kepada kedua-duanya - ini adalah syarat untuk mendapat jaminan

Kitab Allah (Al-Quran) dan Sunnah RasulNya - pengenalan kepada pusaka-pusaka tersebut
------------------------------------------------------------------------------------
maka, dengan ini, lahirlah pula persoalan berikut -

masalah: kita tersesat (sama ada kita mengetahui ataupun tidak sahaja)

buat yang memikirkan, akan berusaha mencari jalan keluar,

jalan keluar telah diberi oleh Allah melalui kata-kata jaminan Rasulullah,

ikutilah syarat dengan berpegang teguh kepada petunjuk-petunjuk Allah yakni kita wajib berAl-Quran dan meneladani Sunnah RasulNya...

bagaimanakah berAl-Quran itu?

analogi ringkasnya begini: berbasikal bermakna menggunakan basikal, berAl-Quran bermakna menggunakan Al-Quran...

untuk berbasikal, hendaklah mengenali apa itu basikal dan tujuan berbasikal...

sama jugaklah untuk berAl-Quran, hendaklah mengenali apa itu Al-Quran dan tujuan berAl-Quran...

ini Allah telah nyatakan dalam firmanNya,

"Sesiapa yang berpaling daripada Al-Quran, maka sesungguhnya dia pada hari kiamat akan menanggung beban yang berat (dosa yang besar)." [Surah Toha: Ayat 100]

takut kan?!!
------------------------------------------------------------------------------
persepsi masyarakat terhadap Al-Quran:

juga ada telah difirmankan Allah s.w.t.,

"Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab, "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main." Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?"" [Surah At-Taubah: Ayat 65]

"Dan Rasul berkata,"Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini suatu yang ditinggalkan (tidak diamalkan)."" [Surah Al-Furqan: Ayat 30]

"Patutkah kamu (wahai golongan yang kafir ingkar) menganggap remeh sahaja terhadap keterangan-keterangan Al-Quran ini?" [Surah Al-Waqi'ah: Ayat 81]

sila renung kembali...memang berlaku ni, kita beramal (mengaji dan khatam) tetapi tidak berilmu (tidak memahamkan Al-Quran) - itulah memperolok-olok/menganggap remeh...

setelah mengetahui apabila diberitahukan, nak remehkan lagi tak?!! takut kan?!! subhanallah...

alhamdulillah sekiranya sahabat-sahabat sekalian mendapat nur...banyak lagi rahsia Allah, jom sama-sama kita cari...insyaAllah...

"Demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran sebagai wahyu (roh yang menghidupkan hati) daripada perintah Kami. 

Engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu. 

Tetapi Kami jadikan Al-Quran sebagai cahaya yang menerangi, yang Kami beri petunjuk dengannya kepada sesiapa yang Kami kehendaki di kalangan hamba-hamba Kami. 

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar memberi petunjuk (dengan Al-Quran itu) ke jalan yang lurus,"
[Surah As-Syuura: Ayat 52]