26 December 2010

...sejarah ringkas Nabi Muhammad s.a.w.(bahagian 2)...

-Akhlak Nabi Muhammad s.a.w. dari zaman kanak-kanak sehingga dewasa-

Nabi Muhammad s.a.w. telah diberi gelaran 'Al-Amin': orang yang dapat dipercayai.

Baginda tidak pernah menyembah berhala semenjak kecil dan tidak pernah makan daging yang disembelih sebagai korban berhala. Baginda mengelak sebarang bentuk keramaian dan upacara pemujaan.

Baginda berusaha sendiri mencari nafkah, kerana orang tuanya tidak meninggalkan harta warisan yang cukup.

Ketika berusia 37 tahun, baginda mula  bertahannuts (tafakur) dalam mencari erti hidup dengan mendapatkan pemusatan jiwa di dalam sebuah gua kecil (Gua Hira') bertempat di Bukit Cahaya (Jabal Nur).

"Dan Dia mendapati engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Dia memberikan hidayah (dengan wahyu - Al-Quran;" [Surah Ad-Dhuha: Ayat 7]

-Nabi Muhammad s.a.w. menjadi Rasul Allah-

Ketika menghampiri umur 40 tahun, Nabi Muhammad s.a.w. lebih kerap bertahannuts. Kadangkala, baginda bermimpi  - mimpi yang benar (Arru'yaa ashshaadiqah).

"Demikianlah Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad) Al-Quran sebagai wahyu (roh yang menghidupkan hati) daripada perintah Kami. Engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu. Tetapi Kami jadikan Al-Quran sebagai cahaya yang menerangi, yang Kami beri petunjuk dengannya kepada sesiapa yang Kami kehendaki di kalangan hamba-hamba Kami. Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) benar-benar memberi petunjuk (dengan Al-Quran itu) ke jalan yang lurus," [Surah As-Syuura: Ayat 52]

Pada 17 Ramadhan bersamaan dengan 6 Ogos 610 Masihi, turunlah Malaikat Jibril a.s. membawakan wahyu Allah s.w.t. yang pertama -

"Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu Yang Menciptakan (sekalian makhluk).


Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah.


Bacalah. Tuhanmu Yang Maha Pemurah.


Yang mengajar manusia melalui perantaraan kalam (pena dan tulisan).


Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya."
[Surah Al-'Alaq: Ayat 1-5]

Menurut riwayat, Rasulullah s.a.w. telah disentap oleh Malaikat Jibril a.s. sebanyak tiga kali sehingga keluar keringat dan menggigil. Setelah menerima wahyu yang pertama ini, baginda bergegas pulang ke rumah dan minta diselimuti oleh isterinya, Siti Khadijah.

Isterinya yang bijaksana langsung tidak berasa khuatir, terus menenteramkan Nabi Muhammad s.a.w..Oleh kerana terlampau lelah, baginda tertidur.

Siti Khadijah kemudian bergegas menemui bapa saudaranya yang bernama Waraqah bin Naufal. Waraqah adalah seorang buta yang telah lanjut usianya. Dia tidak pernah menyembah berhala dan beragama Nasrani. Dia seorang yang berpendidikan, memahami tulisan Ibrany, telah belajar dan menyalinkan Kitab Taurat serta Injil ke dalam Bahasa Arab.

Sesudah selesai mendengarkan cerita daripada Siti Khadijah, Waraqah telah menyatakan kepastiannya bahawa memang Muhammad merupakan Rasul Allah sebab telah menerima 'namus akbar' (petunjuk Yang Maha Besar) sebagaimana yang pernah diterima oleh Nabi Musa a.s..

Setelah Nabi Muhammad s.a.w. kembali tenang, sekali lagi Siti Khadijah pergi menemui Waraqah. Kali ini, dibawanya sekali Nabi Muhammad s.a.w..Waraqah telah memberitahu kepada Nabi Muhammad s.a.w. bahawasanya akan ada suatu ketika di mana baginda bakal diusir kaumnya dalam perjuangan nanti. Lantas, Waraqah berjanji kepada Nabi Muhammad s.a.w. akan menolong sedaya upayanya sekiranya diberi kesempatan untuknya berada bersama-sama Nabi Muhammad s.a.w. ketika itu nanti.

-Peranan Siti Khadijah di saat Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu-

Sebelum berkahwin dengan baginda Rasulullah s.a.w., Siti Khadijah binti Khuwailid telah menjanda sebanyak dua kali.

Suami pertama Siti Khadijah - 'Atieq bin 'Aabld al-Makhzumy. Suami pertamanya meninggal dunia dan mereka mempunyai seorang puteri bernama Hindun.

Suami kedua Siti Khadijah - Nabbasy bin Zurarah Attaimy. Suami keduanya turut meninggal dunia. Mereka mempunyai seorang puteri, yang juga bernama Hindun dan seorang putera bernama Halal.

Siti Khadijah sangat dihormati kerana dia sangat memelihara kesucian dan martabatnya sehingga digelar sebagai 'At-Thahirah'. Dia merupakan seorang janda yang kaya-raya serta dermawan.

Siti Khadijah sungguh-sungguh mengenali jiwa, peribadi serta akhlak Nabi Muhammad s.a.w..Dia memberikan kesempatan dan keleluasaan kehidupan berfikir yang tidak terbatas buat Nabi Muhammad s.a.w. di alam nafsani untuk mencari hakikat yang benar dan mutlak. Siti Khadijah sangat-sangat menyokong dan sentiasa mendorong semangat setiapkali Nabi Muhammad s.a.w. ragu akan kejadian mimpi yang menimpa beliau.

Apabila Nabi Muhammad s.a.w. menerima wahyu yang pertama, Siti Khadijah menghibur dan meyakinkan hati. Dan ketika menerima wahyu kedua yakni, perintah untuk mulai bekerja dan memperjuangkan syiar agama Allah - Siti Khadijahlah wanita Islam pertama yang memeluk Islam tanpa ragu-ragu.Alhamdulillah...

No comments:

Post a Comment