26 December 2010

...sejarah ringkas Nabi Muhammad s.a.w.(bahagian 1)...

-Sejarah Kota Mekah-

Kota Mekah merupakan garis lalu lintas perdagangan antara negeri Yaman (Arab Selatan) dan negeri Syam (Lautan Tengah). Di dalam Kota Mekah, terdapat rumah suci yang disebut 'Baitullah' atau Kaabah. Kaabah ini telah dibangunkan oleh Nabi Ibrahim a.s. bersama-sama puteranya Nabi Ismail a.s.

Nabi Ismail a.s. telah berkahwin dengan seorang wanita daripada suku Jurhum (Yaman). Lantas, mereka menetap secara turun-temurun di Kota Mekah lalu dikenali sebagai keturunan Adnaniyyun (Bani Ismail).

Pada suatu hari, empangan di Ma'rib telah pecah. Peristiwa ini menyebabkan kabilah-kabilah dari Arab Selatan berpindah ke Utara menuju Kota Mekah.

Antaranya termasuklah sebuah rombongan pimpinan Harits bin 'Amir (Bani Khuza'ah). Bani Khuza'ah ini telah mengalahkan Bani Ismail, seterusnya menjadi penguasa Kota Mekah.

Sewaktu dalam pemerintahan Bani Khuza'ah, Bani Ismail mula berkembang biak dan merantau ke negeri-negeri yang lain. Hanya suku Quraisy (daripada Bani Ismail) yang tetap tinggal di Kota Mekah.

Sehinggalah abad ke-5 Masihi, akhirnya seorang pemimpin suku Quraisy yang bernama Qushai berjaya merebut kuasa ke atas Kota Mekah. Qushai mengamalkan pemerintahan secara demokrasi dan membahagi-bahagikan kekuasaan kepada pemimpin-pemimpin Quraisy. Tempat bermusyawarah diwujudkan dan diberi nama 'Daarunnadwah'. Suku Quraisy turut diberi tugasan sebagai penjaga Kaabah.

-Kelahiran Nabi Muhammad s.a.w.-

Bayi itu dilahirkan seorang yatim, bapanya Abdullah meninggal 7 bulan sebelum kelahirannya. Kelahirannya telah disambut oleh datuknya, Abdul Muthalib yang segera membawanya ke kaki Kaabah lalu diberikan nama Muhammad (nama yang belum pernah ada).

Nabi Muhammad s.a.w. telah lahir ke dunia pada tanggal 12 Rabiulawal Tahun Gajah bersamaan dengan 20 April 571 Masihi. Tahun kelahirannya dikenali sebagai Tahun Gajah kerana pada tahun tersebut Kota Mekah telah diserang oleh tentera bergajah Nasrani di bawah pimpinan Abrahah. Allah telah menghancurkan bala tentera itu dengan kehadiran burung Ababil.

Ayah Nabi Muhammad s.a.w. - Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim bin Abdumanaf bin Qushai bin Kilab bin Murrah

Ibu Nabi Muhammad s.a.w. - Aminah binti Wahab bin Abdumanaf bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah

Adalah menjadi kelaziman golongan bangsawan di Kota Mekah untuk menghantar bayi-bayi mereka kepada wanita-wanita badiyah (dusun di padang pasir) yang bertugas sebagai ibu susuan agar:

  • bayi-bayi dapat menghirup hawa yang bersih
  • bayi-bayi terhindar daripada penyakit-penyakit kota
  • bayi-bayi berbicara bahasa yang murni dan fasih
Maka, Aminah menyerahkan Nabi Muhammad s.a.w. kepada seorang wanita dari Bani Sa'ad (suku Hawa'in) yang bernama Halimatus Saadiah untuk disusukan. Nabi Muhammad s.a.w. diasuh olehnya sehinggalah berusia 5 tahun.

-Kematian ibu dan datuk Nabi Muhammad s.a.w.-

Ketika berusia 6 tahun, Nabi Muhammad s.a.w. telah dibawa oleh ibunya ke Yathrib. Mereka ditemani Ummu Aiman yang merupakan hamba peninggalan ayah Nabi Muhammad s.a.w.

Tujuan mereka ke Yathrib adalah untuk memperkenalkan Nabi Muhammad s.a.w. kepada keluarga nenek baginda yang berketurunan Bani Najjar serta menziarahi makam ayah Nabi Muahmmad s.a.w.. Aminah telah menunjukkan tempat ayah baginda dirawat ketika sakit serta pusaranya. Mereka tinggal selama sebulan di Yathrib sebelum memutuskan untuk kembali ke Kota Mekah.

Di dalam perjalanan pulang, bertempat di Abwa', ibu Nabi Muhammad s.a.w. telah jatuh sakit sehingga meninggal dunia. Nabi Muhammad s.a.w. menjadi seorang yatim piatu.

Sekembalinya ke Kota Mekah, Nabi Muhammad s.a.w. telah dijaga oleh datuknya, Abdul Muthalib. Tidak berapa lama, ketika usia Nabi Muhammad s.a.w. menginjak 8 tahun, datuknya pula telah meninggal dunia.

Abdul Muthalib telah mewasiatkan agar Nabi Muhammad s.a.w. diasuh oleh bapa saudaranya, Abu Thalib.

-Pengalaman-pengalaman penting Nabi Muhammad s.a.w.-

Nabi Muhammad s.a.w. di zaman kanak-kanaknya mengambil upah menggembala kambing. Ini mengajarkan baginda erti kesabaran serta bertenang dalam membuat keputusan.

Sewaktu berusia 12 tahun, Nabi Muhammad s.a.w. telah mengikuti bapa saudaranya untuk membawa barang dagangan ke negeri Syam. Ketika di dalam perjalanan bertempat di Bushra, kafilah mereka telah bertemu dengan seorang pendeta Nasrani bernama Buhaira. Buhaira telah nampak tanda kenabian pada Nabi Muhammad s.a.w. lalu disampaikan kepada Abu Thalib. Buhaira kemudian menyuruh Abu Thalib segera berpatah balik ke Mekah kerana khuatir kaum Yahudi akan mengapa-apakan Nabi Muhammad s.a.w.

Menginjak ke usia 15 tahun, telah berlaku satu peperangan di antara satu pihak (suku Quraisy dan Kinanah) melawan satu pihak lagi (suku Qais 'Ailan). Perang ini berlaku pada bulan Zulqaedah dan digelar 'Harbul Fijar' : perang yang memecahkan kesucian. Pada waktu itu, Nabi Muhammad s.a.w. bertugas membantu menyediakan keperluan perang.

Jenayah yang makin berleluasa telah menimbulkan keinsafan. Ketika Nabi Muhammad s.a.w. berusia 17 tahun, berkumpullah pemimpin-pemimpin suku Quraisy daripada Bani Hasyim, Bani Muthalib, Bani Asad bin 'Uzza, Bani Zuhrah bin Kilab serta Bani Tamim bin Murrah. Mereka telah mengangkat sumpah agar tidak boleh ada orang teraniaya di Kota Mekah. Sekiranya ada, haruslah dibela bersama-sama. Sumpah ini dinamakan 'Haifulfudhul' dan berlaku di rumah Abdullah bin Juda'an.

Setelah meningkat dewasa (awal 20-an), Nabi Muhammad s.a.w. terkenal seorang yang jujur, telah diambil bekerja untuk membawa barang dagangan seorang janda kaya (Siti Khadijah) ke negeri Syam. Baginda ditemani seorang pembantu bernama Maisarah.

Sekembali daripada Syam setelah beroleh keuntungan yang besar memperdagangkan 1000 kafilah, Nabi Muhammad s.a.w. telah mendapat lamaran. Maka, berkahwinlah beliau yang ketika itu berusia 25 tahun dengan Siti Khadijah yang berusia 40 tahun.

Nabi Muhammad s.a.w. bertambah terkenal apabila berjaya mendamaikan perselisihan di antara pemimpin-peminpin Quraisy dalam hal peletakan 'Hajarul Aswad' ke tempat asalnya. Baginda digelar 'Al-Amin': orang yang dipercaya dan dipilih menjadi hakim kerana baginda merupakan orang pertama yang datang ke Kaabah ketika peristiwa itu berlangsung. 

Baginda telah menghamparkan sebidang kain, lalu diangkatkannya 'Hajarul Aswad' yang diletakkan di tengah-tengah hamparan tadi. Kemudian, pemimpin-pemimpin Quraisy telah diarahkan untuk memegang penjuru kain, sebelum 'Hajarul Aswad' diangkat bersama-sama ke tempat asalnya. Tiba di lokasi, Nabi Muhammad s.a.w.lah yang menempatkannya.

No comments:

Post a Comment