02 January 2011

...sejarah ringkas Nabi Muhammad s.a.w.(bahagian 4)...

-Menyiarkan ajaran Islam secara terang-terangan-

Selama hampir 3 tahun lamanya Nabi Muhammad s.a.w. bergerak secara 'da'watul afraad': gerakan masuk Islam seorang demi seorang secara senyap-senyap dari rumah ke rumah. Sehinggalah turunnya firman Allah yang bermaksud:

"Oleh itu, sampaikanlah secara terus-terang apa yang diperintahkan kepadamu dan janganlah engkau hiraukan bantahan dan tentangan kaum kafir musyrik itu." [Surah Al-Hijr: Ayat 94]

Dakwah secara terang-terangan ini dimulakan dengan kerabat sendiri, kemudian diikuti dengan segenap lapisan masyarakat Mekah dan kemudiannya, kepada kabilah-kabilah yang mendatang (ketika tiba musim haji).

Maka dengan ini, ajaran Nabi Muhammad s.a.w. mula menjadi perhatian. Pada mulanya, gerakan Nabi Muhammad s.a.w. ini dianggap tidak berdasar. Oleh itu, ajarannya diambil secara acuh tak acuh dan dibiarkan pembawaannya.

Namun begitu, lama-kelamaan apabila pengikut-pengikut semakin bertambah, Nabi Muhammad s.a.w. semakin tegas dan lantang. Baginda mulai mengecam agama berhala pegangan nenek moyang.

Isu itu telah membangkitkan api kemarahan pembesar Quraisy. Sebahagian daripada mereka mula melancarkan permusuhan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. dan pengikut-pengikutnya. Golongan rendah mulai diseksa secara luar perikemanusiaan. Walaubagaimanapun, Nabi Muhammad s.a.w. terus dilindungi Abi Thalib yang disegani.

Pada suatu hari, datanglah seorang wakil Quraisy menemui Abi Thalib dan meminta agar Nabi Muhammad s.a.w. menghentikan gerakan dakwahnya. Perkara ini ditolak Abi Thalib.

Abi Thalib kemudiannya menceritakan kejadian tersebut kepada Nabi Muhammad s.a.w. bilamana Nabi Muhammad s.a.w. menyatakan ketegasannya untuk meneruskan usaha dakwah baginda. Ketika itu juga, Nabi Muhammad s.a.w. telah menangis dan Abi Thalib berjanji akan tetap melindungi baginda walau apapun terjadi.

Sejurus selepas itu, Abi Thalib telah menghimpun dan mengingatkan Bani Hasyim dan Bani Muthalib agar memelihara semangat setia keluarga dengan tidak mengira status keIslaman (menerima ajaran Nabi Muhammad s.a.w.) ataupun masih kafir.

-Faktor-faktor yang mendorong kafir Quraisy menentang ajaran Nabi Muhammad s.a.w.  dan orang Muslimin-

     1.  Persaingan merebut kekuasaan 

         
          - Orang kafir Quraisy tidak dapat membezakan erti kenabian dan kekuasaan kerana menyangka bahawa tunduk kepada Nabi Muhammad s.a.w. bermakna tunduk kepada kekuasaan/pimpinan

     2.  Ajaran kesamaan hak/darjat dalam Islam

          - Orang kafir Quraisy merasakan diri mereka adalah lebih mulia/tinggi sedangkan Islam menyamaratakan status semua hamba-hamba Allah s.w.t.
          
          - Allah s.w.t. telah berfirman:

          "Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa antara kamu (bukan kerana keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." [Surah Al-Hujurat: Ayat 13]

      3.  Taklid kepada nenek moyang
          - Menurut firman Allah s.w.t.:

          "Apabila dikatakan kepada mereka,"Marilah mengikuti apa yang telah diturunkan oleh Allah (Al-Quran) dan kepada RasulNya (yang menyampaikannya)." Mereka menjawab,"Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati (daripada agama dan kepercayaan) nenek moyang kami." Adakah (mereka akan mengikuti juga) sekalipun nenek moyang mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat petunjuk?" [Surah Al-Ma'idah: Ayat 104]

-Hijrah ke Habsyah (Ethiopia)-

Apabila orang kafir Quraisy merasakan bahawa usaha mereka tidak berhasil di pihak Abi Thalib, mereka mula memperhebat seksaan. Oleh kerana Nabi Muhammad s.a.w. tidak tahan melihatkan penderitaan ini, baginda pun menyuruh para pengikutnya agar berhijrah ke Habsyah (kebanyakan penduduk beragama Kristian). Nabi Muhammad s.a.w. telah mengetahui bahawa raja Habsyah ketika itu (Najasyi) merupakan seorang yang adil.

Rombongan pertama ke Habsyah terdiri daripada 10 orang lelaki bersama 4 orang perempuan. Ini disusul pula dengan rombongan-rombongan lain sehingga mencecah hampir 100 orang. Peristiwa ini berlaku pada tahun kelima Nabi Muhammad s.a.w. diangkat menjadi RasulNya bersamaan dengan 615M.

Ketibaan rombongan pengikut Nabi Muhammad s.a.w. telah disambut baik di Habsyah. Perkara ini telah mengakibatkan orang kafir Quraisy berasa gelisah. Lantas, mereka mengutuskan 2 orang wakil untuk menghadap raja Habsyah iaitu Amru bin Ash dan Abdullah bin Rabiah yang telah meminta agar penduduk Mekah yang berhijrah dikembalikan. Usul ini ditolak oleh raja Habsyah.

Sementara itu, Nabi Muhammad s.a.w. yang masih berada di Mekah terus menyeru. Berkat rahmat Allah, pada saat genting tersebut, 2 orang pemimpin perkasa telah menyertai Islam dengan menurut ajaran Nabi Muhammad s.a.w. iaitu Hamzah bin Abdul Muthalib dan Umar Al-Khattab.

-Pemboikotan terhadap Bani Hasyim dan Bani Muthalib-

Disebabkan ikatan kekeluargaan Nabi Muhammad s.a.w. yang sangat kuat, apapun yang diusahakan orang kafir Quraisy tidak berhasil. Mereka mula mengatur taktik baru.

Segala bentuk perhubungan diputuskan: ikatan perkahwinan, adat jual-beli, ziarah serta lain-lain.

Keputusan boikot ini telah ditulis atas kertas dan digantung pada kepala Kaabah.

Maka, Nabi Muhammad s.a.w. serta pengikutnya telah menyingkirkan diri ke luar kota Mekah selama 3 tahun menanggung derita kemiskinan dan kesengsaraan.

Di sebalik kejadian ini, masih terdapat pula segolongan kaum Quraisy yang bersimpati dan telah secara sembunyi-sembunyi menghantar makanan pada waktu malam hari (antaranya termasuklah Hisyam bin Amr). Tidak beberapa lama kemudian, boikot telah dihentikan secara rasminya dengan dikoyakkan kertas pengumuman.

-Nabi Muhammad s.a.w. mengalami tahun kesedihan-

Pada tahun ke-10 kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., Abi Thalib telah meninggal dunia ketika usianya 87 tahun. Ini diiringi pula dengan kematian isteri baginda, Siti Khadijah pada tahun yang sama. Tahun kesedihan ini dinamai 'Aamul Huzni': tahun kesedihan.

Rentetan itu telah membuatkan Nabi Muhammad s.a.w. merasakan bahawa Mekah sudah tidak sesuai untuk dijadikan pusat dakwah. Baginda mulai merancang untuk berdakwah ke luar kota Mekah.

Negeri yang dituju ketika itu adalah Thaif (kabilah Tsaqif). Ajakan Nabi Muhammad s.a.w. telah ditolak dengan kasar. Baginda telah diusir dan dilempar batu. Waktu itu, baginda telah berlindung di bawah pohon anggur milik kebun Utba dan Syaiba (anak Rabi'a).

No comments:

Post a Comment