05 January 2011

...sejarah ringkas Nabi Muhammad s.a.w.(bahagian 5)...

- Nabi Muhammad s.a.w. menjalani peristiwa Isra' dan Mikraj -

Peristiwa Isra' dan Mikraj merupakan suatu bentuk perintah Allah s.w.t. buat Nabi Muhammad s.a.w. Ianya merupakan suatu perjalanan bermula dari Mekah menuju ke Baitul Maqdis (Palestin), terus naik ke langit ketujuh dan Sidratul Muntaha.

Di sanalah termaktubnya perintah langsung agar manusia mengerjakan solat lima waktu. Peristiwa ini telah berlaku pada waktu malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan Nabi Muhammad s.a.w.. sekaligus mengakibatkan orang kafir Quraisy menuduh baginda sebagai kurang waras.

- Pengislaman orang Yathrib -

Pada musim haji tahun ke-11 kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., berkunjunglah jemaah Khazraj yang berasal dari Yathrib ke Mekah. Perkara ini memberi peluang kepada Nabi Muhammad s.a.w. bertemu dengan mereka. Suku Khazraj ini tahu akan agama keTuhanan serta telah mendengarkan percakapan orang-orang Yahudi mengenai akan tibanya kedatangan Nabi dalam waktu terdekat.

Sejurus perjumpaan dengan Nabi Muhammad s.a.w., bertambahlah keyakinan hingga mereka beriman seramai 6 orang seluruhnya. Sekembalinya mereka ke Yathrib, ajaran Islam disebarkan kepada kaum kerabat di sana pula.

Pada musim haji tahun yang berikutnya, datang pula sekumpulan 12 orang lelaki beserta seorang wanita menemui Nabi Muhammad s.a.w. secara rahsia di Aqabah bertujuan mengadakan bai'at (perjanjian) atas dasar Islam.

Antara isi perjanjian termasuklah:
     -     berjanji tidak akan sekali-kali menyekutukan Allah s.w.t.
     -     berjanji tidak akan mencuri, berzina, membunuh anak-anak perempuan, memfitnah serta menderhaka kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Perjanjian ini dipanggil 'Bai'atul Aqubatil Ula' (Perjanjian Aqabah Pertama) yang juga digelar 'Bai'atun Nisa'a' (Perjanjian Wanita) disebabkan penyertaan seorang wanita yang bernama 'Afra binti 'Abid bin Tsa'labah ketika pertemuan tersebut berlangsung.

Selepas bai'at itu, Nabi Muhammad s.a.w. telah mengirim Mush'ab bin Umair ke Yathrib untuk mengajarkan Al-Quran dan Islam. Islam mula diterima di Yathrib melainkan keluarga kecil orang Aus.

Pada musim haji tahun ke-13 kerasulan Nabi Muhammad s.a.w., datang pula serombongan muslimin Yathrib yang mengajak Nabi Muhammad s.a.w. untuk bertemu di Aqabah pada hari Tasyriq secara sembunyi-sembunyi di malam hari. Rombongan ini terdiri daripada 73 orang lelaki bersama 2 orang wanita. Nabi Muhammad s.a.w. datang dengan ditemani bapa saudaranya Abbas (yang masih belum Islam ketika itu).

Abbas telah memulakan bicara untuk tidak menyerahkan Nabi Muhammad s.a.w. sekiranya akan diapa-apakan.

Sebaliknya, rombongan Khazraj ini mengalu-alukan Nabi Muhammad s.a.w..Nabi Muhammad s.a.w. kemudiannya telah membacakan Al-Quran dan mengambil perjanjian, di mana 12 orang wakil Aus dan Khazraj berdiri dan berjanji akan membela Nabi Muhammad s.a.w. dengan mengorbankan harta dan jiwa. Perjanjian ini dipanggil 'Bai'atul 'Aqabah Ats Tsaaniyah' (Perjanjian Aqabah Kedua).

- Hijrah ke Yathrib -

Perkembangan Islam di Yathrib telah memeranjatkan orang kafir Quraisy. Maka, sebahagian pemimpin Quraisy telah memutuskan untuk membunuh Nabi Muhammad s.a.w. di mana setiap suku telah diarahkan agar menghantar seorang pemuda pilihan. Ketika itu, turunlah perintah Allah s.w.t supaya Nabi Muhammad s.a.w. berhijrah ke Yathrib.

Perkara ini telah jelas dinyatakan oleh Allah s.w.t. menurut firmanNya:

"Ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang kafir musyrik (Mekah) menjalankan perancangan jahat terhadapmu untuk memenjarakanmu atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan perancangan jahat dan Allah menggagalkan perancangan jahat (mereka). Allah sebaik-baik yang menggagalkan perancangan jahat." [Surah Al-Anfal: Ayat 30]

Perintah hijrah ini telah disampaikan kepada pengetahuan Abu Bakar oleh Nabi Muhammad s.a.w..Lalu, Abu Bakar menyuarakan kesanggupan beliau untuk menemani Nabi Muhammad s.a.w..

Pada malam kejadian, pemuda-pemuda kafir Quraisy telah mengepung rumah Nabi Muhammad s.a.w..Pada masa yang sama, Nabi Muhammad s.a.w. berkemas-kemas dan meminta Ali bin Abi Thalib berbaring tidur di tempat baginda.

Secara diam-diam Nabi Muhammad s.a.w. keluar dari rumahnya dan didapati pemuda-pemuda kafir Quraisy yang mengepung tertidur lena. Nabi Muhammad s.a.w. melempar pasir seraya menuju ke rumah Abu Bakar.

Sesampainya di rumah Abu Bakar, mereka bersama-sama keluar mengikut pintu belakang lantas menaiki unta yang telah disediakan menuju ke sebuah gua yang terletak di Bukit Tsur untuk bersembunyi di situ.

Sementara itu, apabila menyedari tentang ketiadaan Nabi Muhammad s.a.w. di rumah baginda, pemuda-pemuda kafir Quraisy mulai panik dan mencari-cari. Mereka telah tiba ke pekarangan gua di Bukit Tsur itu tetapi telah dikaburi oleh sarang labah-labah yang seakan-akan sudah lama diperbuat pada jalan masuk di pintu gua.

Tiga hari lamanya Nabi Muhammad s.a.w. bersembunyi di dalam gua itu. Setelah merasakan keadaan agak aman, baginda meneruskan perjalanan bersama Abu Bakar dan seorang penunjuk jalan, iaitu Abdullah bin Uraiqit. Ali bin Abi Thalib datang untuk menyusul kemudian.

Menurut firman Allah s.w.t.,

"Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad), maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (Mekah) mengusirnya (dari negerinya: mekah) sewaktu dia menjadi salah seorang daripada dua (sahabat) yang berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya,"Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita."Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Allah menjadikan seruan (syirik) orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana." [Surah At-Taubah: Ayat 40]

- Yathrib menjadi Madinatun Nabiy -

Pada hari Isnin bersamman dengan 8 Rabiulawal tahun 1 Hijrah, Nabi Muhammad s.a.w. telah sampai ke Quba'. Setelah beristirehat selama 4 hari, Nabi Muhammad s.a.w. mula membina masjid yang dinamakan Masjid Quba' (masjid yang pertama).

Kemudian, pada hari Jumaat bersamaan dengan 12 Rabiulawal tahun 1 Hijrah atau 24 September 622M, tibalah Nabi Muhammad s.a.w. bersama rombongannya ke Yathrib dan disambut dengan meriah. Baginda kemudiannya menunaikan solat Jumaat yang pertama serta telah memberikan khutbah kepada kaum Muhajirin dan Ansar. Nama Yathrib kemudiannya ditukar kepada Madinah.

Di Kota Madinah inilah, Nabi Muhammad s.a.w. mula melakarkan siasah serta dasar-dasar Daulah Islamiyyah. Gerakan perjuangan baginda melibatkan dua segi iaitu untuk membina masyarakat Islam; serta memelihara dan mempertahankan Islam.

No comments:

Post a Comment